SERIAN, 15 Oktober: Seramai 49 warga Indonesia dipindahkan ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, hari ini.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, kesemua Orang Yang Dipindahkan (OYD) terbabit dibawa dari Depot Imigresen Semuja, Serian menggunakan laluan darat.

Daripada jumlah tersebut, 31 merupakan lelaki dewasa, 16 wanita dewasa dan dua kanak-kanak yang diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI).
Operasi yang bermula pada 8.00 pagi itu melibatkan tujuh pegawai dan anggota pengiring bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan teratur.

Menurut JIM Sarawak, keseluruhan operasi dilaksanakan dalam keadaan selamat dan terkawal menerusi penyelarasan pergerakan serta kawalan keselamatan sepanjang perjalanan.
Jabatan itu turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan dan pemindahan OYD dilaksanakan secara teratur, berintegriti serta mematuhi prosedur dan peraturan imigresen yang berkuat kuasa.





