17 kerusi DUN baharu, Sarawak ada pilihan lain

Facebook
WhatsApp

PROSES persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak, sepatutnya bermula pada 2024 lagi setelah lat tempoh lapan tahun berakhir pada 2023 selepas kali terakhir kajian itu dilakukan pada 2015.

Mungkin kerana kelewatan itu, kerajaan Sarawak mengambil keputusan bentang dan luluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Julai tahun lalu.

Walaupun urusan ini hak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak salah untuk memberi cadangan bagi membantu mempermudahkan urusan dan terpulang kepada SPR untuk menerima atau tidak mahupun mengubahsuaikannya.

Hampir semua 82 ADUN menyokong RUU pada Sidang Khas DUN kecuali dua anggota DAP. Dengan itu, kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Ini suara rakyat Sarawak.

Memang tugas persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hak SPR dan pihak berkepentingan seperti pengundi di kawasan juga punya hak untuk membantah, menyokong atau memberikan syor baharu pada peta dan nama cadangan DUN baharu diberi apabila ia dipamerkan di pejabat daerah seluruh negeri.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil jalan tengah dalam isu ini tanpa mengira bertanding hanya untuk 82 kerusi DUN atau 99 iaitu termasuk 17 kerusi baharu pada PRN akan datang.

Tetapi 17 kerusi DUN baharu itu sudah hampir pasti tidak sempat digunakan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang yang perlu diadakan antara sekarang hingga 14 Februari tahun depan. Tujuh bulan dari sekarang.

SOP

Secara umumnya, proses itu terpaksa melalui pelbagai lapisan seperti berikut:

  1. Kajian persempadanan dimulakan oleh SPR
  2. Cadangan dipamerkan kepada orang ramai
  3. Tempoh bantahan dibuka (sekurang-kurangnya sebulan)
  4. Siasatan tempatan (local inquiry) diadakan jika bantahan memenuhi syarat
  5. SPR boleh meminda cadangan dan mengadakan siasatan tambahan jika perlu.
  6. Laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri.
  7. Cadangan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan melalui majoriti mudah.
  8. Selepas diluluskan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia diwartakan.

Berapa lama proses ini?

Di Malaysia, tiada tempoh tetap yang ditetapkan mengenai proses persempadanan semula oleh SPR mesti siap dalam beberapa bulan.

Namun, berdasarkan proses yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, lazimnya ia mengambil masa sekitar enam hingga 12 bulan dan kadangkala boleh mencecah lebih setahun jika terdapat banyak bantahan.

Jangkaan PRN

Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027 tetapi ramalan popular ialah pada November/Disember ini.

Boleh tunggu kerusi baharu?

Jika DUN Sarawak dibubar sebelum Februari 2027, harapannya begitu tipis sekali.

Jalan alternatif

Andai SPR boleh memberi jaminan bahawa proses semua itu boleh diselesaikan sebelum April 2027, maka 17 kerusi baharu DUN itu boleh diguna pakai untuk ditandingi. Dan inilah pilihan yang ada.

Ini kerana di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.

ANDAI SPR boleh memberi jaminan bahawa proses semua itu boleh diselesaikan sebelum April 2027, maka 17 kerusi baharu DUN itu boleh diguna pakai untuk ditandingi. Dan inilah pilihan yang ada.

Maknanya, DUN Sarawak tidak perlu dibubar sebelum 14 Februari 2027 dan ia terbubar secara automatik selepas itu. Maksudnya, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga pertengahan April 2027 iaitu sembilan bulan dari sekarang.

Jika mengikut lazim proses SPR mengambil masa sekitar enam hingga 12 bulan, maka SPR mungkin boleh percepatkan proses itu untuk tempoh minimum enam bulan saja. Mungkin ada SOP boleh dipendekkan seperti pameran sebulan untuk peta dan nama kawasan DUN di pejabat daerah kepada hanya dua minggu dan begitu juga proses siasatan tempatan.

Persoalan

  • Mengapa SPR tidak melakukan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak sebaik tempoh lat lapan tahun itu berakhir pada 2023?
  • Memang hak SPR untuk kerja kajian semula itu tetapi Sarawak sudah membuka jalan bagi memudahkan urusan persempadanan semula SPR apabila sidang khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025.
  • Mengapa SPR hanya mula memohon menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan mempamerkan peta cadangan itu, tetapi tiada tarikh diberi.
  • Apakah SPR hanya ikut arahan Kerajaan Persekutuan seperti dakwaan segelintir warganet?

Kecoh

Dalam surat bertarikh 25 Jun lalu itu, dikepilkan bersama cadangan nama 17 kerusi baharu DUN selain pertukaran nama DUN sedia ada, yang kemudiannya tular di media sosial.

Berikutan itu, timbul sedikit kekecohan kerana ada yang tidak bersetuju dengan nama dan lokasi kerusi baharu dicadangkan. Ada juga yang setuju. Malah ada pemimpin bawahan parti politik membuat syor seperti mewujudkan kerusi DUN baharu di lokasi mereka setelah tiada dalam senarai cadangan.

Ini perkara biasa dan sebab itu, SPR mempamerkan peta dan nama itu di semua pejabat daerah dan majlis perbandaran untuk menerima maklum balas orang ramai – bersetuju, membantah atau apa cadangan lain, lazimnya dalam tempoh sebulan.

82 atau 99?

Bagaimanapun, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil jalan tengah dalam isu ini tanpa mengira bertanding hanya untuk 82 kerusi DUN atau 99 iaitu termasuk 17 kerusi baharu pada PRN akan datang.

“Kami tidak ada masalah. Kalau 82, 82-lah. Kalau 99, 99-lah…. tidak ada masalah kerana tidak semestinya pilihan raya mesti menggunakan 99 kerusi jika tempohnya tidak mencukupi.

“Apa yang penting ialah proses berkenaan dapat dilaksanakan mengikut peruntukan dan tempoh yang ditetapkan, manakala perkara berkaitan pilihan raya perlu mengambil kira persediaan SPR,” katanya ketika ditemui  pemberita selepas majlis pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching, Isnin lepas.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meminta SPR menyediakan laporan terkini berhubung cadangan persempadanan semula bagi membolehkan penambahan kerusi DUN Sarawak dilaksanakan.

Tersasar

Tanpa 17 kerusi DUN baru dalam PRN nanti, perancangan peralihan politik parti atau pemimpin tertentu kemungkinan turut tersasar.

Contohnya, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini sudah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Difahamkan, Nanta yang juga Setiausaha Agung GPS/PBB

berminat menjadi calon DUN baharu dikenali sebagai Melekun di bawah Parlimen Kapit. Bagaimana kalau kerusi baru itu tidak sempat digunakan dan PRU-16 pula mungkin diadakan lebih awal, seawal selepas PRN Melaka?

Rumusan

Andai 99 kerusi DUN terutama membabitkan 17 kerusi baharu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang, maknanya ia hanya boleh digunakan pada PRN 2031, paling lewat.

Jika ada jaminan SPR untuk siapkan proses persempadanan kawasan menjelang April 2027, maka ia sempat digunakan. Perkara ini pun terserah kepada kebijaksanaan Premier Sarawak bila masa sesuai untuk bubar DUN.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Merdeka bukan sekadar mengibar bendera

SETIAP kali menjelang 31 Ogos, kita kembali berbicara tentang kemerdekaan, patriotisme dan pengorbanan generasi terdahulu. Bendera dikibarkan, lagu kebangsaan berkumandang