MELAKA, 18 Oktober: Pengeluaran simpanan persaraan secara bulanan menerusi skim i-Emas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat membantu pesara mengurus kewangan dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan risiko simpanan habis dalam tempoh singkat.
Pekerja sektor swasta Kalpita Jatin Doshi, 30, berkata pendekatan itu wajar kerana menyediakan aliran pendapatan berkala kepada pesara, khususnya mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan atau sumber pendapatan tetap selepas usia 55 tahun.
Eksekutif tempahan itu berkata pengeluaran secara berperingkat membolehkan pesara mengawal perbelanjaan harian, selain mengekalkan baki simpanan dalam KWSP untuk terus menjana dividen tahunan.
“Inisiatif i-Emas ini sangat bagus kerana dapat menyediakan pendapatan bulanan secara berterusan dengan pengeluaran minimum sebanyak RM100.
“Jika wang simpanan KWSP dikeluarkan secara sekali gus, ada risiko ia akan habis dengan cepat. Pengeluaran secara bulanan bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan malah baki simpanan yang kekal dalam akaun KWSP dapat terus menjana dividen tahunan,” katanya kepada Bernama.
Senada dengan pandangan itu, Eksekutif Jualan Muhammad Uzaibah Fathiha Mohd Taib, 28, berkata kemudahan berkenaan turut memberi ruang kepada ahli KWSP merancang kewangan jangka panjang dengan lebih berdisiplin, terutama bagi memenuhi keperluan selepas bersara.
Beliau berkata perancangan awal penting bagi memastikan simpanan dikumpulkan sepanjang tempoh bekerja dapat dimanfaatkan untuk tempoh persaraan yang mungkin berlanjutan bertahun-tahun.
“Sebagai golongan muda, tempoh kerjaya yang masih panjang memberi peluang untuk kita mengumpul simpanan sebanyak mungkin.
“Adanya skim seperti ini memberi ruang untuk membuat perancangan kewangan jangka panjang yang lebih baik untuk persaraan, keperluan keluarga, kediaman mahupun aktiviti masa tua,” katanya.
Menerusi i-Emas, ahli yang layak boleh memilih untuk menerima bayaran bulanan daripada Pengeluaran Umur 55 dan 60 Tahun, berbanding mengeluarkan keseluruhan simpanan sekali gus, manakala baki yang kekal dalam KWSP terus menerima dividen tahunan.
Pendekatan itu bertujuan membantu ahli mengurus aliran kewangan selepas bersara dengan lebih teratur serta memanjangkan tempoh penggunaan simpanan bagi menampung keperluan harian. – Bernama




