Kebakaran hutan terus berlaku di Sanggau, Kalimantan Barat

Facebook
WhatsApp
PASUKAN gabungan bertungkus-lumus memadam bara api yang kembali menyala di kawasan bekas kebakaran hutan dan lahan di Tikungan S, Tayan Hilir, Sanggau. Operasi penyejukan dijalankan bagi mengelakkan api kembali merebak ketika musim kemarau. Foto Pontianak Post

KUCHING: Daerah (Kabupaten) Sanggau di Kalimantan Barat, antara insiden berlaku kebakaran hutan.

Laporan versi online Pontianak Post hari ini menyebut Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Sanggau merekodkan 25 kejadian kebakaran hutan sepanjang Januari hingga Ogos 2026.

Kebakaran tersebut melibatkan keseluruhan kawasan seluas 22.5 hektar.

“Daripada 22.5 hektar itu, 10 hektar merupakan kebakaran lahan (tanah), sembilan hektar kebakaran hutan dan enam hektar kebakaran hutan dan lahan,” kata Ketua Pelaksana BPBD Kabupaten Sanggau, Didit Richardi, kepada wartawan pada Rabu.

Didit berkata, kejadian karhutla atau singkatan bahasa Indonesia bagi kebakaran hutan dan lahan (tanah)
berlaku di beberapa kawasan di Kabupaten Sanggau. Antara kejadian terbesar berlaku di Dusun Terentang, Desa Subah, Kecamatan Tayan Hilir, dengan kawasan terbakar seluas 14 hektar.

Kebakaran turut berlaku di Lingkungan Engkayas, Kecamatan Tanjung Kapuas, membabitkan kawasan kira-kira 1.6 hektar.

“Turut berlaku kebakaran di Jalan Dokuk-Mensarang, belakang SD 54, Kelurahan Sungai Sengkuang, Kecamatan Kapuas seluas 1.6 hektar; Bukit Bintang, Kelurahan Sungai Sengkuang, Kecamatan Kapuas seluas 1.4 hektar; dan Jalan Mensarang-Ribau, Kelurahan Sungai Sengkuang, Kecamatan Kapuas seluas satu hektar,” katanya.

Dalam menangani karhutla, BPBD Sanggau melaksanakan beberapa langkah termasuk pengesanan awal, penilaian lokasi, operasi pemadaman, pengendalian, pemantauan serta usaha pencegahan melalui kempen kesedaran kepada masyarakat.

“Kami menugaskan pasukan yang bersiap siaga 24 jam sehari untuk memantau laporan daripada masyarakat berkaitan karhutla atau bencana lain,” katanya.

Berikutan musim kemarau yang masih berterusan, Didit menggesa masyarakat meningkatkan kewaspadaan terhadap risiko kebakaran.

Beliau turut meminta penduduk menghentikan sementara aktiviti membuka atau membersihkan kawasan dengan kaedah pembakaran.