KUCHING: Pihak berkuasa berkaitan digesa menjalankan penilaian teknikal menyeluruh terhadap sistem perparitan di Jalan Tong Wei Tah susulan aduan penduduk mengenai kejadian banjir kilat berulang ketika hujan lebat.
Gesaan itu dibuat Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, selepas beliau mengunjungi kawasan berkenaan susulan permohonan penduduk agar masalah yang telah berlarutan itu diberi perhatian segera.
Menurut Kong, berdasarkan pemerhatian di lokasi serta maklum balas penduduk, masalah banjir dipercayai berpunca daripada reka bentuk keseluruhan sistem perparitan dan bukan semata-mata kapasiti longkang.
Katanya, aras tanah Jalan Tong Wei Tah lebih rendah berbanding kawasan sekitarnya, termasuk Jalan Stampin dan Jalan Stampin Barat 4, menyebabkan air hujan mengalir ke kawasan berkenaan sebelum menuju ke Lorong Tong Wei Tah No. 2.
Bagaimanapun, beliau berkata, longkang di beberapa lorong, termasuk Lorong Tong Wei Tah No. 2 dan Lorong Tong Wei Tah No. 5, dilihat berakhir di jalan mati, menyebabkan aliran air hujan tidak dapat disalurkan dengan berkesan ke longkang monsun berhampiran.
“Akibatnya, air bertakung dalam sistem perparitan dan akhirnya melimpah ketika hujan lebat,” katanya.
Kong berkata limpahan air turut berlaku di Jalan Tong Wei Tah, termasuk memasuki kawasan anjung kereta dan, dalam sesetengah kes, rumah penduduk, sekali gus menyebabkan kerosakan harta benda serta kesulitan berulang.
Menurutnya, beberapa bahagian longkang di sepanjang Jalan Tong Wei Tah telah dilebar dan didalamkan tahun lalu, namun kejadian banjir pada Jun lalu menunjukkan kerja berkenaan masih belum menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Isunya bukan sekadar saiz longkang, tetapi reka bentuk keseluruhan sistem perparitan dan ketidakupayaan air untuk dialirkan dengan berkesan ke sistem saliran utama,” katanya.
Sehubungan itu, Kong menggesa pihak berkuasa meneliti keseluruhan rangkaian perparitan di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti punca kesesakan aliran, bukannya melaksanakan penyelesaian secara berperingkat tanpa menangani punca utama.
“Dengan keadaan cuaca hujan sekarang, tindakan segera amat diperlukan. Pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu sehingga banjir berlaku lagi sebelum bertindak,” katanya.
Beliau berkata langkah pencegahan dapat membantu mengelakkan penduduk daripada terus menanggung kerugian dan kesusahan yang boleh dielakkan.
“Penduduk Jalan Tong Wei Tah telah terlalu lama berdepan masalah ini dan mereka berhak mendapat sistem perparitan yang berfungsi dengan baik serta melindungi rumah mereka daripada banjir berulang,” katanya.
Oleh Connie Chieng





