KUCHING: Paip utama bekalan air berdiameter 840 milimeter di Jalan Tun Jugah, Kuching pecah kira-kira jam 3 petang hari ini akibat kerja pihak ketiga yang berkaitan dengan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Sarawak Water dalam kenyataan berkata, kejadian itu dijangka menyebabkan tekanan air rendah atau gangguan bekalan air sementara di beberapa kawasan.
Antara kawasan yang terjejas ialah:
- Jalan Kenyalang Park
- Jalan Upland
- Jalan Song
- Jalan Ong Tiang Swee
- Jalan Simpang Tiga
- Jalan Seladah
- Jalan Kenny Hill
- Jalan Jelutong
- Jalan Pending
- Jalan Kwong Lee Bank
- Jalan Ang Cheng Ho
- Jalan Tun Razak
- Jalan Durian Burung
- Jalan Sekama
- Jalan Mendu
- Jalan Lumba Kuda
- Kawasan sekitar
Sarawak Water berkata, pasukannya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan sedang mengasingkan bahagian paip yang terjejas bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan dengan selamat.
“Kerja pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi meminimumkan tempoh gangguan kepada pengguna. Bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai.
“Pengguna dinasihatkan bahawa bekalan dan tekanan air mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali normal, terutama di kawasan yang terletak lebih jauh dalam sistem agihan.
“Dalam tempoh pemulihan, sesetengah pengguna mungkin mengalami air yang berubah warna atau menjadi keruh buat sementara waktu akibat perubahan tekanan air yang menyebabkan mendapan sedia ada dalam sistem agihan terganggu,” jelasnya.
Sarawak Water akan menjalankan kerja pembilasan di lokasi yang diperlukan bagi membantu memulihkan dan menstabilkan kualiti air.
Sarawak Water memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna yang terjejas.
Sebarang perkembangan berkaitan kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.





