Pengurusan haiwan terbiar perlu pendekatan sistematik, berperikemanusiaan – Kelvin Yii

Facebook
WhatsApp
KELVIN Yii menandatangani MoU bersama ExecuteAWA bagi menyokong pendekatan berperikemanusiaan dan mampan dalam pengurusan haiwan terbiar.

KUCHING: Malaysia perlu menggunakan pendekatan yang lebih sistematik, berperikemanusiaan dan berasaskan sains dalam menguruskan populasi haiwan terbiar bagi menangani punca sebenar masalah itu secara menyeluruh, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Beliau berkata, kaedah menangkap dan memusnahkan haiwan terbiar semata-mata tidak menyelesaikan isu berkenaan kerana masalah pembiakan, pembuangan haiwan, pemilikan tidak bertanggungjawab serta pengurusan populasi turut perlu ditangani.

“Tanpa menangani isu-isu ini secara sistematik, kita berisiko berdepan masalah sama berulang kali, tidak kira berapa banyak haiwan terbiar yang ditangkap dan dimusnahkan,” katanya.

Yii berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong usaha ExecuteAWA untuk mewujudkan pendekatan yang lebih sistematik dan berperikemanusiaan dalam pengurusan kebajikan haiwan.

Menurutnya, beliau konsisten menyokong kaedah pengurusan haiwan terbiar secara berperikemanusiaan seperti kaedah Tangkap-Mandul-Vaksin-Lepas-Urus (TNVRM), selain menekankan kepentingan menangani aspek vaksinasi, pengenalan haiwan dan pengurusan komuniti.

Katanya, Malaysia memerlukan ekosistem pengurusan haiwan yang diselaraskan, berasaskan data dan sains serta melibatkan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, organisasi kebajikan haiwan, doktor veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

“Inisiatif seperti #ProjekTogetherBoleh membuktikan kerjasama antara kerajaan, masyarakat sivil dan komuniti mampu menterjemahkan idea serta dasar kepada tindakan praktikal di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Yii menegaskan usaha memperkukuh dasar perlu disertai penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan tindakan sewajarnya terhadap kes kekejaman terhadap haiwan.

“Kes Rocky baru-baru ini menjadi bukti yang menyakitkan dan jelas tentang kepentingan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang yang lebih kukuh, penguatkuasaan berkesan serta pengurusan populasi haiwan secara berperikemanusiaan perlu dilaksanakan secara bersama.

“Kita perlu melaksanakan apa yang kita katakan dan memastikan undang-undang diterjemahkan kepada tindakan, bukan sekadar kata-kata kosong di atas kertas,” katanya.

Yii turut merakamkan penghargaan kepada pengasas ExecuteAWA, Sue Ann Kong dan pasukannya atas usaha menghimpunkan komuniti serta pihak berkepentingan bagi membangunkan penyelesaian praktikal berkaitan kebajikan haiwan.

Beliau berkata, kerajaan, masyarakat sivil dan komuniti perlu bekerjasama bagi membina ekosistem pengurusan haiwan yang lebih berperikemanusiaan, bertanggungjawab dan mampan demi kesejahteraan masyarakat serta haiwan.

Oleh Connie Chieng