SARIKEI: Seekor ular cincin emas yang menceroboh dapur sebuah rumah di Jalan Langsat berjaya ditangkap anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, tengah hari tadi.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.17 tengah hari.
“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Kilok Lampas bersama lima anggota bomba digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seekor ular cincin emas berukuran kira-kira satu meter berada di dapur rumah pengadu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi bermula pada 12.25 tengah hari sebaik pasukan bomba tiba di rumah tersebut.
“Komander operasi mengarahkan anggota menggunakan alat penjerut ular untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Ular itu berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut ular dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.35 tengah hari,” katanya.




