NIAH: Usaha memelihara makanan tradisional masyarakat Iban perlu diperkasa bagi memastikan warisan kulinari itu terus dikenali dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Antara makanan tradisional yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ialah pansuh, yang kini bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat tempatan, malah semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa termasuk dalam sajian hotel.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, walaupun pansuh semakin dikenali secara meluas, aspek keaslian penyediaannya perlu terus dipelihara, khususnya dari segi pemilihan bahan dan kaedah memasak.
“Contohnya, kalau kita orang Iban, kita boleh mengetengahkan makanan tradisional seperti pansuh.
“Sekarang pansuh sudah masuk ke peringkat antarabangsa dan disajikan di hotel, tetapi kita mahu memastikan pansuh yang kita hasilkan masih mengekalkan cara dan rasa asalnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Program Skuad Kasih Sayang (SKS) Bekenu di Rumah Sebastian Madang, Skim Sepupok Niah, hari ini.
Rosey berkata, generasi terdahulu mempunyai pelbagai pengetahuan mengenai adat, makanan, seni dan cara hidup masyarakat Iban yang perlu dipelajari semula dan diwariskan kepada golongan muda.
“Kalau kita mahu generasi baharu tahu, kita perlu mula sekarang. Kalau tidak, suatu hari nanti mereka tidak akan tahu lagi apa yang menjadi warisan kita.
“Kita masih mempunyai barangan lama peninggalan datuk dan nenek yang boleh mengingatkan kita kepada cara hidup serta adat dahulu. Kita perlu mengenalinya semula, mempelajari dan mengajarkannya kepada generasi sekarang,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkenalkan semula warisan makanan tradisional itu turut boleh dilaksanakan menerusi Biro Wanita, termasuk dengan mengadakan aktiviti pembelajaran penyediaan pansuh.
“Jadi, saya mengambil peluang melalui Biro Wanita untuk kita belajar memasak pansuh, termasuk mengenal pasti buluh yang sesuai dan daun yang digunakan.
“Ini penting supaya warisan dan identiti makanan masyarakat kita tidak hilang begitu sahaja,” katanya.
Rosey menegaskan kehilangan adat, budaya dan seni tradisional bukan sahaja menyebabkan sesuatu warisan lenyap, malah boleh menjejaskan identiti sesuatu bangsa.
Pada program itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM25,000 bagi pembangunan rumah panjang dan komuniti di kawasan Rumah Sebastian Madang.
Sebanyak lapan bakul makanan turut diserahkan kepada penerima pada program berkenaan.
Oleh Adum Liu




