KUCHING: Beberapa bahagian Jalan Tun Jugah ditutup sebahagian bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dengan pengguna jalan raya dijangka mengalami kesesakan yang lebih teruk di kawasan terjejas.
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) berkata, penutupan berkenaan diperlukan bagi membolehkan operasi jentera berat dan kerja pembinaan dijalankan, khususnya di laluan dari persimpangan Jalan Tun Jugah-Jalan Laksamana Cheng Ho-Jalan Song hingga ke bulatan Simpang Tiga.
“Kerja pembinaan di laluan berkenaan sedang dijalankan dan akan dipergiatkan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.
“Antara kerja yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan jajaran bertingkat bagi kenderaan Transit Rapid Autonomi (ART), termasuk pembinaan tiang, kepala tiang dan rasuk jajaran, selain pembinaan stesen ART berhampiran bulatan Simpang Tiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarawak Metro, selaku pelaksana, penyelenggara dan pengendali projek KUTS, mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan mengambil kira keadaan trafik di kawasan terbabit.
“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati serta mematuhi langkah pengurusan trafik, papan tanda dan had laju yang ditetapkan ketika melalui zon pembinaan.
“Orang ramai juga digalakkan menggunakan laluan alternatif untuk menuju ke destinasi masing-masing,” jelasnya.
Sarawak Metro akan mengeluarkan pengumuman dari semasa ke semasa berkaitan sebarang lencongan, penutupan lorong dan langkah pengurusan trafik sepanjang kerja pembinaan dijalankan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian KUTS di 1300-88-5887, Isnin hingga Jumaat dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali cuti umum.




