SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) menyeru seluruh penduduk di kawasan pentadbirannya supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh mengancam kesihatan, keselamatan serta kelestarian alam sekitar.
Menurut kenyataan media MDSA, pembakaran sampah di kawasan perumahan, pembakaran kebun atau ladang tanpa kawalan serta pembuangan puntung rokok secara sembarangan antara perbuatan yang perlu dielakkan bagi mencegah kejadian tidak diingini.
MDSA berkata, pembakaran terbuka bukan sahaja boleh menyebabkan api merebak dengan pantas, malah asap yang terhasil berpotensi menjejaskan kualiti udara dan kesihatan orang awam.
Keadaan itu turut boleh mengurangkan jarak penglihatan pengguna jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutama sekiranya asap tebal menyelubungi kawasan berdekatan jalan raya.
Dalam pada itu, pembakaran terbuka juga boleh mencemarkan alam sekitar serta memusnahkan tumbuhan dan habitat hidupan liar.
MDSA turut mengingatkan orang ramai bahawa aktiviti pembakaran terbuka yang melanggar peraturan berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengamalkan konsep 3R iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle), selain mengurus sisa organik dengan kaedah yang betul serta menggunakan perkhidmatan kutipan sampah yang disediakan.
MDSA turut meminta orang awam supaya melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencurigakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Bersama kita cegah kebakaran, lindungi diri, komuniti dan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama dan keprihatinan semua penduduk di kawasan pentadbiran MDSA amat dihargai dalam usaha memastikan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan sihat untuk semua.
Oleh Adi Safarman



