Sarawak Metro tubuhkan unit polis bantuan bagi perkukuh keselamatan KUTS

Facebook
WhatsApp
SAC Roselina (tengah) menyerahkan Sijil Polis Bantuan kepada Mazli.

KUCHING: Sarawak Metro mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan operasi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menerusi penubuhan unit polis bantuan sendiri.

Menurut kenyataan Sarawak Metro, penubuhan unit itu dimuktamadkan baru-baru ini selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan sijil kelulusan kepada Sarawak Metro bagi menubuhkan unit berkenaan.

Sijil itu diserahkan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Kontinjen PDRM Sarawak, SAC Roselina Daud kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa dalam satu majlis ringkas di pejabat korporat Sarawak Metro.

Mazli berkata penubuhan unit polis bantuan itu penting bagi melindungi aset dan premis projek KUTS serta memperkukuh keselamatan di sepanjang kawasan jajaran KUTS.

Menurutnya, penyerahan sijil berkenaan merupakan pencapaian penting dalam membentuk unit keselamatan yang tersusun, profesional dan berkesan bagi menyokong operasi KUTS.

“Keselamatan merupakan asas kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan dipercayai, sekali gus menjadikan unit polis bantuan berkenaan penting dalam melindungi keseluruhan ekosistem KUTS.

“Dengan adanya unit polis bantuan ini, kami dapat memperkukuh keselamatan di seluruh ekosistem KUTS termasuk kemudahan operasi, depoh, stesen dan aset strategik bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk penumpang, kakitangan serta komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli mengulas labjut,  kekuatan anggota dan keupayaan operasi unit itu akan dibangunkan secara berperingkat selaras dengan pelaksanaan projek KUTS.

“Sarawak Metro turut akan meneruskan kerjasama dengan PDRM dalam aspek latihan, pematuhan dan pembangunan kompetensi bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi dapat diberikan kepada orang awam,” ujarnya.

Bina integriti dari rumah, perkukuh di sekolah

KUCHING: Pembudayaan integriti perlu bermula dari rumah sebelum diperkukuh melalui pendidikan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat, kata Premier Sarawak,