LIMBANG: Pasukan Sabah Avengers muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Kelab Jemputan 2026 (edisi keenam) bagi merebut Piala Pusingan Yang Berhormat Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail yang berlangsung di Dewan Polis, baru-baru ini.
Sebagai juara, Sabah Avengers membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Pasukan Legacy pula muncul naib juara dan menerima wang tunai RM3,000, piala iringan serta pingat.
Tempat ketiga bersama disandang Dream Team dan Maeltree BC, yang masing-masing menerima wang tunai RM2,000, piala iringan dan pingat.
Kejohanan berkenaan dianjurkan Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan, selain mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan penduduk dari negara, negeri dan daerah berjiran dengan Bahagian Limbang.
Menurut PBBL, kejohanan itu turut menjadi platform mempromosikan pelancongan berasaskan sukan dengan menarik penggemar badminton ke Limbang, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat.
“Selain itu, kejohanan ini dapat mempromosikan pelancongan melalui sukan dengan menarik minat penggemar badminton datang ke Limbang, sekali gus merancakkan ekonomi di Bahagian Limbang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sebanyak 13 pasukan menyertai kejohanan itu membabitkan 104 pemain dari Sarawak, Sabah dan Brunei.
Majlis perasmian disempurnakan Presiden PBBL yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Timbalan Presiden PBBL, Zaini Garip.
Oleh Adeng Edrus



