JULAU: Penyediaan infrastruktur sekolah yang selesa dan mampan perlu diberi perhatian bagi menampung peningkatan jumlah murid serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, keperluan itu turut melibatkan sekolah yang berada di luar kawasan Parlimen Julau sekiranya sebahagian besar muridnya berasal dari kawasan tersebut.
“Walaupun projek yang saya berikan hanya di kawasan Parlimen Julau, tetapi sebagai wakil rakyat, saya tetap akan membantu warga sekolah ini demi kebajikan mereka.
“Beberapa tahun lalu, lebih 70 murid dari Julau bersekolah di sini, dan kini jumlahnya meningkat kepada lebih 120 orang.
“Jadi, saya rasa kemudahan seperti infrastruktur amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Bersama Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Naman, yang terletak di sempadan pentadbiran Lanang dan Julau, baru-baru ini.
Larry berkata peningkatan jumlah murid dari Julau yang mendapatkan pendidikan di sekolah berkenaan menunjukkan keperluan untuk memastikan kemudahan sedia ada mampu memenuhi keperluan mereka.
“Sekiranya ingin menambah bilangan murid, kita mesti mempunyai prasarana sekolah yang selesa dan mampan serta mampu menarik minat murid,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat setempat turut memainkan peranan dalam usaha menambah baik kemudahan sekolah menerusi semangat kerjasama dan gotong-royong.
“Saya berharap penduduk kampung akan bersatu dan bergotong-royong untuk membangunkan kemudahan di sekolah tersebut.
“Di SK Ulu Sungai Naman, saya memperuntukkan RM9,000,” katanya.
Larry berkata kerjasama antara pemimpin dengan masyarakat penting bagi memastikan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, mempunyai persekitaran yang lebih baik dan kondusif untuk pendidikan anak-anak.
“Saya berharap dengan sokongan pemimpin dan masyarakat, kita akan terus membantu sekolah di kawasan tersebut, terutama dalam menyediakan tempat yang lebih baik untuk anak-anak kita bersekolah.
“Pendidikan anak-anak kita adalah tanggungjawab kita,” katanya.
Oleh Earl Anek




