PARIS, Perancis: Cristiano Ronaldo dan pasangan jangka panjangnya, Georgina Rodriguez, melangsungkan perkahwinan pada Selasa dalam satu majlis di pusat peranginan Cascais, Portugal, menurut wakil bintang bola sepak itu.
Ronaldo, 41, berkongsi foto tangan pasangan itu yang memakai cincin perkahwinan menerusi akaun Instagramnya dengan kapsyen: “C ❤️ G”.
Lima anak pasangan itu turut menghadiri majlis yang disifatkan sebagai “tertutup dan intim” itu, menurut Brunswick Group, yang mengendalikan urusan perhubungan awam pemain berkenaan.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga tepat setahun selepas Rodriguez, 32, seorang pempengaruh, mengumumkan pertunangan mereka menerusi Instagram.

Mereka bertemu pada 2016 ketika Rodriguez bekerja di sebuah kedai Gucci di Madrid, dengan Rodriguez menyifatkan pertemuan itu sebagai “cinta pandang pertama”.
Dalam temu bual dengan Vogue Arabia pada 2025, beliau berkata hampir serta-merta merasakan “ketenangan dan tenaga yang tidak dapat dijelaskan” ketika bersama Ronaldo, “seolah-olah kami sudah saling mengenali sejak dahulu”.
Ronaldo, yang mewakili Portugal pada Piala Dunia musim panas ini sebelum pasukan itu tersingkir pada peringkat 16 terakhir, kini bermain untuk kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Penyerang yang pernah beraksi bersama Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu memenangi anugerah Ballon d’Or sebagai pemain terbaik dunia sebanyak lima kali.
Rodriguez pula meningkatkan popularitinya menerusi rancangan Netflix berjudul “I Am Georgina”.
Secara keseluruhan, pasangan itu mempunyai lebih 750 juta pengikut di seluruh akaun media sosial mereka.
Pasangan berkenaan turut mempunyai portfolio pelaburan yang merangkumi jenama fesyen dan rangkaian hotel. – AFP





