JPNS perkukuh kesiapsiagaan sekolah hadapi jerebu

Facebook
WhatsApp
JPNS memperkukuh penyelarasan pengurusan jerebu bersama PPD dan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid dan warga pendidikan sentiasa terpelihara.

PETRA JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memperkukuh kesiapsiagaan dan penyelarasan pengurusan institusi pendidikan dalam menghadapi situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Usaha itu dilaksanakan menerusi Taklimat Khas Pengurusan Jerebu secara dalam talian yang melibatkan penyertaan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak, dekat sini semalam.

Taklimat bermula 2.30 petang itu bertujuan memastikan tindakan pengurusan jerebu di peringkat sekolah dapat dilaksanakan secara tersusun, pantas dan berkesan, selaras dengan perkembangan semasa kualiti udara.

Sesi berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, JPNS, Dr. Les Met, dan turut disertai pegawai JPN serta PPD, pengetua, guru besar dan wakil sekolah yang terjejas akibat keadaan jerebu.

Antara perkara utama yang diberi penekanan ialah keperluan pemantauan berterusan terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan tahap pencemaran udara semasa.

JPNS turut menekankan pengurusan aktiviti luar bilik darjah dan kokurikulum supaya disesuaikan mengikut bacaan IPU serta arahan semasa pihak berkuasa bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar.

Aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah turut menjadi keutamaan, khususnya membabitkan individu yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan seperti asma.

Sehubungan itu, pihak sekolah diminta mengambil langkah pencegahan dan perlindungan dengan segera sekiranya keadaan kualiti udara memerlukan penyesuaian terhadap aktiviti persekolahan.

Pada masa sama, sekolah diingatkan supaya memastikan maklumat berkaitan situasi jerebu disampaikan kepada ibu bapa dan penjaga secara jelas, tepat dan berkesan, terutama sekiranya berlaku perubahan atau penyesuaian terhadap aktiviti persekolahan.

Semua PPD juga diminta melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sekolah di bawah seliaan masing-masing serta menyalurkan perkembangan terkini kepada JPNS melalui saluran komunikasi dan pelaporan yang ditetapkan.

JPNS menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan Sarawak kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan pengurusan situasi jerebu.

Kerjasama erat antara JPNS, PPD, pihak sekolah serta ibu bapa dan penjaga amat penting bagi memastikan pengurusan jerebu dapat dilaksanakan secara bersepadu, responsif dan berkesan, sekali gus memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta kondusif.

Oleh Adi Safarman

Menelusuri keindahan Gua Pari-Pari di Bau

BAU: Tersembunyi di sebalik bukit batu kapur, Gua Pari-Pari menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk meneroka khazanah alam yang seolah-olah