LIMBANG: Orang awam, individu dan pihak swasta digalakkan mempergiat promosi sektor pelancongan domestik di Limbang bagi menarik lebih ramai pengunjung ke daerah berkenaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program Melawat Limbang selama tiga hari dua malam yang dipromosikan menerusi aplikasi TikTok berpotensi menjadikan Limbang sebagai destinasi pilihan untuk bercuti dan dikunjungi.
Menurutnya, konsep sama boleh diperluaskan dengan menjadikan kawasan Lumpur Bebuak sebagai antara destinasi utama dalam pakej pelancongan berkenaan, selain menggabungkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
“Dalam TikTok ada promosi tiga hari dua malam khas untuk melawat Limbang, menerusi Tebingan Limbang dan mengikuti jambatan terpanjang di Asia Tenggara di Brunei, iaitu Limbang-Brunei.

“Mungkin promosi sama boleh dibuat di Lumpur Bebuak untuk tiga hari dua malam. Kita mesti mengambil kesempatan ini, termasuk pemain industri perkhidmatan, restoran, pengangkutan, inap desa dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan pesta Lumpur Bebuak 2026 di Kampung Meritam, petang semalam.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, kerajaan kini turut membangunkan potensi Gunung Buda menerusi pelaksanaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) yang dijangka siap menjelang 2030.
Katanya, kira-kira 17 program utama dianjurkan Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang setiap tahun bagi menarik pengunjung dan merancakkan sektor pelancongan di daerah berkenaan.
“Antaranya Pesta Babulang, Badudun dan Lumba Kerbau, Makan Tahun Kedayan, Nuba Laya, Tarik Tali Kebangsaan, termasuk Pesta Limbang yang bakal diadakan pada September ini,” katanya.
Beliau berkata, Limbang mempunyai keunikan tersendiri sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak dan Malaysia, selain berpotensi menyumbang kepada peningkatan kemasukan pengunjung ke Sarawak, khususnya dari Brunei setiap tahun.
Oleh Adeng Edrus





