KUCHING: Semua sekolah di Sarawak diminta agar sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing susulan situasi jerebu rentas sempadan yang melanda negeri itu kini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan institusi pendidikan di bawah jabatan itu diminta menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.
Menurut JPNS, bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah melibatkan murid hendaklah dihentikan.
“Institusi pendidikan perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena jerebu di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
JPNS juga menasihatkan murid agar memakai penutup hidung dan minum air dalam kuantiti sesuai dengan kerap bagi mengawal suhu badan.
“Sekolah juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Mereka juga perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” menurutnya.
Jumlah kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat akibat jerebu rentas sempadan di Sarawak pada pagi ini meningkat kepada sembilan.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan berkenaan ialah Kuching (161), Samarahan (161), Serian (179), Sri Aman (155), Sarikei (155), Sibu (158), Mukah (156), Bintulu (142) dan Samalaju (141).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. – Bernama





