KUCHING,10 Oktober: Potensi industri petrokimia Sarawak terus mendapat perhatian pelabur antarabangsa apabila dua kumpulan pelabur yang berpangkalan di Thailand dan Jepun menyatakan minat untuk melabur sehingga RM1 bilion di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, minat berkenaan disuarakan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan kedua-dua kumpulan pelabur itu di Bangkok, Thailand pada bulan lalu.
Katanya, kelebihan Sarawak dalam menyediakan tenaga rendah karbon serta memiliki sumber minyak dan gas menjadi antara faktor yang menarik perhatian pelabur terbabit.
Perkembangan itu turut disokong prestasi pelaburan negeri yang merekodkan RM11.2 bilion pelaburan diluluskan sepanjang separuh pertama tahun ini.
“Pelaburan yang mengalir masuk ke Sarawak mesti dapat dihubungkan dengan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan profesional untuk menjana ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian industri baharu penting bagi memastikan pertumbuhan pelaburan turut memberi manfaat kepada ekonomi negeri.
Beliau berkata, perkembangan industri berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut memperluas kerjasama strategik dalam sektor teknologi menerusi perjanjian rangka kerja antara SoftBank Group Corp., Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Kerjasama yang dimeterai pada Khamis lalu itu bertujuan meneroka pembangunan platform kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital di Sarawak, sekali gus memperkukuh penyertaan negeri dalam ekonomi berasaskan teknologi.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak terus memperkukuh transformasi ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi.
Antara bidang yang dikenal pasti ialah semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga hijau, hidrogen, metanol, AI, aeroangkasa serta pertanian dan pembuatan makanan.
Beliau yakin gabungan sumber asli, tenaga bersih, teknologi, penyelidikan dan kepakaran tempatan mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ini menjelang 2030.
Selain itu, pembangunan infrastruktur tenaga turut dipergiat apabila Petros sedang membina saluran paip gas sepanjang 65 kilometer dari Kidurong ke Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.
Oleh Norman B





