TEBEDU, 10 Oktober: Tiga projek menaik taraf jalan pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu siap dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos keseluruhan RM450,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, beliau baru-baru ini turun padang bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Serian.
Menurutnya, projek itu melibatkan kerja menaik taraf jalan pertanian di tiga lokasi yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya komuniti petani di kawasan berkenaan.
“Kemudahan jalan pertanian yang lebih baik amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk, terutama dalam mengangkut hasil pertanian dari kawasan kebun ke pusat pengumpulan dan pasaran,” katanya.
Tiga projek berkenaan ialah naik taraf jalan pertanian Pangkad di Kampung Jenan sepanjang 583 meter dengan kos RM150,000; jalan pertanian Danu Terup/Sungai Belung/Sedihan di Kampung Pichin sepanjang 450 meter dengan kos RM150,000 serta jalan pertanian Mpayang-Mabu di Kampung Payau Burus sepanjang 620 meter, yang turut menelan kos RM150,000.
Dr. Simon berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas luar bandar demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur pertanian bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui pengangkutan hasil pertanian yang lebih lancar serta peningkatan produktiviti komuniti luar bandar.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada agenda pembangunan berterusan bagi memastikan masyarakat di kawasan DUN Tebedu terus menikmati kemudahan yang lebih baik serta peluang ekonomi yang lebih luas,” ujarnya.
Dengan siapnya ketiga-tiga projek RTP itu, penduduk Kampung Jenan, Kampung Pichin dan Kampung Payau Burus dapat menikmati kemudahan jalan pertanian yang lebih baik untuk kegunaan harian dan aktiviti ekonomi.
Oleh Adi Safarman




