TEBEDU, 10 Oktober: Seramai 1,000 peserta tanaman lada dari 24 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima bantuan baja menerusi Program Simbolik Penyerahan Bantuan Input Pertanian yang berlangsung di Pejabat Pertanian Daerah Tebedu, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyokong pembangunan sektor pertanian, khususnya industri lada yang menjadi antara sumber pendapatan penting penduduk luar bandar.
Menurutnya, semua penerima merupakan peserta tanaman lada yang berdaftar di bawah seliaan Jabatan Pertanian Daerah Tebedu dan meliputi 24 kampung di kawasan DUN berkenaan.
Beliau berkata, bantuan baja itu diharap dapat mengurangkan beban kos pengeluaran yang semakin meningkat, sekali gus membantu petani meneruskan aktiviti penanaman dengan lebih berkesan.
“Kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh para petani dalam menguruskan tanaman mereka, terutama dari segi kos input pertanian. Justeru, bantuan ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.
Dr. Simon berkata, sektor lada mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat setempat sekiranya diusahakan secara sistematik dan berterusan.

Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan produktiviti tanaman perlu diberi perhatian supaya hasil pengeluaran dapat ditingkatkan dan pendapatan pekebun bertambah.
Sehubungan itu, beliau berharap semua penerima dapat memanfaatkan bantuan yang disalurkan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan tanaman lada terus diusahakan secara produktif.
Katanya, penggunaan baja yang sesuai dan pengurusan tanaman yang baik merupakan antara faktor penting untuk meningkatkan kualiti serta hasil pengeluaran lada.
Dalam pada itu, beliau menggesa petani supaya terus bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat berkaitan amalan pertanian moden.
Tambahnya, kejayaan sektor pertanian memerlukan komitmen serta kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan golongan petani sebagai penggerak utama industri berkenaan.
“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, saya yakin sektor pertanian di DUN Tebedu akan terus berkembang, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman



