RM165,360 naik taraf jalan ladang Rumah Lim Sabang siap sepenuhnya

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri semasa melakukan tinjauan projek siap kerja-kerja menaik taraf jalan ladang di Rumah Lim Sabang, Metong, dekat sini semalam. Foto: ADUN Kalaka

ROBAN: Kerja-kerja menaik taraf jalan ladang di Rumah Lim Sabang, Metong yang bernilai RM165,360 telah siap sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat kepada pekebun sawit di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf itu telah disempurnakan sepenuhnya oleh kontraktor yang dilantik menerusi proses tender yang ditetapkan.

Katanya, selepas projek siap, satu program serah tapak projek siap telah diadakan bersama Jabatan Pertanian Bahagian Betong, pihak kontraktor serta wakil Tuai Rumah Lim Sabang.

“Projek ini amat penting dalam membantu meningkatkan kemudahan perhubungan khususnya kepada pekebun sawit yang bergantung kepada jalan berkenaan untuk menjalankan aktiviti pertanian,” katanya.

Mohamad Duri berkata, keadaan jalan yang lebih baik akan memudahkan pekebun mengangkut hasil tanaman dari kebun ke pusat pengumpulan atau pasaran dengan lebih lancar.

Beliau menambah, penyediaan infrastruktur pertanian yang berkualiti bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah berpotensi membantu mengurangkan kesukaran serta kos pengangkutan hasil pertanian.

Menurutnya, kemudahan tersebut juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada BDDA, Jabatan Pertanian Bahagian Betong dan pihak kontraktor kerana telah menyiapkan satu lagi kemudahan infrastruktur yang akan memberikan manfaat besar kepada pekebun sawit di Rumah Lim Sabang, Metong,” katanya.

Beliau berharap kemudahan jalan yang telah dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penduduk, khususnya pekebun sawit, selain membantu merancakkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Rumah Lim Sabang, Daerah Kecil Roban.

Oleh Adi Safarman

Kai Wun-Roy King juara Masters Korea

KUALA LUMPUR: Strategi Malaysia dalam acara beregu lelaki membuahkan hasil apabila pasangan Tee Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters