KUCHING: Jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang susulan pergerakan angin yang membawa asap daripada titik panas di wilayah berhampiran ke negeri ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) berkata pihaknya sedang memantau rapat situasi jerebu berikutan laporan pergerakan jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hari ini.
Menurutnya, kawasan yang dikenal pasti berpotensi terjejas termasuk Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
“Berdasarkan penilaian terkini, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Ramalan terkini turut menunjukkan kualiti udara mungkin merosot di kawasan tertentu dengan kepekatan zarah halus PM2.5 pada tahap tidak sihat diramalkan berlaku di Miri dan Serian pada 8 Ogos, diikuti Betong pada 9 Ogos,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini dan nasihat rasmi berikutan keadaan cuaca serta corak angin yang boleh berubah.
JPBNS turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar, terutama senaman lasak, apabila kualiti udara merosot selain memastikan pintu dan tingkap ditutup ketika tahap jerebu tinggi.
Orang ramai juga disaran memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Mereka turut dinasihatkan supaya memastikan badan kekal terhidrat serta mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas, ketidakselesaan dada atau batuk berterusan.
Dalam pada itu, JPBNS mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di talian 082-447 488 atau 082-319 500.
JPBNS bersama MetMalaysia, NREB, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan akan terus memantau situasi serta menyelaras langkah tindak balas yang diperlukan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan orang awam.
Oleh Shahrul Qaizat





