SYDNEY: Kekurangan kakitangan perkhidmatan penerbangan yang dilaporkan menjadi punca kelewatan penerbangan secara meluas dan beberapa pembatalan di Lapangan Terbang Sydney pada Jumaat, lapor Xinhua.
Qantas memaklumkan bahawa lebih 50 penerbangan domestik dan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Sydney mengalami kelewatan sehingga 90 minit hari ini, manakala empat penerbangan domestik dibatalkan.
Jetstar, syarikat penerbangan tambang murah di bawah Kumpulan Qantas, turut melaporkan 25 lagi penerbangan mengalami kelewatan, manakala Virgin Australia memaklumkan 20 penerbangannya terjejas.
Akhbar Sydney, The Daily Telegraph, melaporkan bahawa kelewatan itu berpunca daripada kekurangan kakitangan.
Ketua Pegawai Eksekutif badan industri Airlines for Australia and New Zealand, Stephen Beckett, memberitahu akhbar itu bahawa kelewatan berkenaan memberi kesan besar kepada rangkaian penerbangan negara.
Jurucakap Airservices Australia berkata langkah pengurusan aliran trafik udara telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Sydney susulan kekangan operasi.
“Pengawal trafik udara Airservices amat berbangga dan komited dalam melaksanakan tugas kritikal yang menuntut tahap keselamatan tinggi,” menurut kenyataan itu. – Bernama





