BINTULU: Organisasi belia seperti Junior Chamber International (JCI) memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing menerusi pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan khidmat masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, JCI bukan sekadar platform pembangunan kepimpinan, malah menjadi wadah membentuk tanggungjawab sosial, semangat keusahawanan dan perspektif global dalam kalangan belia.
“Ramai belia melalui JCI mempelajari kemahiran memimpin, menganjurkan program, merancang projek dan menyelesaikan masalah, selain membina keyakinan diri menerusi khidmat kepada masyarakat.
“Organisasi seperti JCI merupakan antara rakan strategik kerajaan kerana berjaya menterjemahkan idea kepada tindakan serta impian kepada realiti demi manfaat masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Bintulu Youth Exhibition (BYE) 4.0 anjuran JCI Jalan Tanjung Kidurong di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, kejayaan BYE yang memasuki penganjuran tahun keempat membuktikan komitmen berterusan JCI Jalan Tanjung Kidurong dalam menyediakan platform yang memperkasa pembangunan belia dan menggalakkan penglibatan aktif golongan muda dalam pembangunan komuniti.
Tambahnya, kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap pembangunan belia melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, ekonomi digital dan inovasi bagi melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau memberitahu, belia bukan sahaja pewaris masa depan negara, malah pemacu pembangunan masyarakat pada masa kini yang perlu diberikan peluang dan platform untuk mengembangkan potensi mereka.
Justeru, Johnny Pang menggesa lebih ramai anak muda menyertai organisasi dan platform pembangunan seperti JCI kerana setiap pengalaman, cabaran dan khidmat kepada masyarakat akan membentuk kepimpinan serta meningkatkan keyakinan diri.
BYE 4.0 menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan usahawan muda, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan bakat serta permainan papan yang disertai masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.





