LAWAS, 18 November: Jambatan Bandar Lawas yang mempunyai reka bentuk ikonik disifatkan mirip jambatan di Budapest, Hungary, sekali gus berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keunikan reka bentuk jambatan berkenaan sudah menarik perhatian pengguna media sosial meskipun belum dirasmikan.
Menurutnya, gambar jambatan itu yang tersebar di media sosial mendapat reaksi positif, malah reka bentuknya mengingatkan beliau kepada jambatan di Budapest yang terkenal dengan seni bina warisan Eropah.
“Saya lihat ramai orang di media sosial suka dengan jambatan kita. Belum rasmi lagi, tetapi di media sosial sudah ada yang mengatakan, ‘Ya Rabbi, kacak jambatan di Lawas ini’. Baru gambar yang keluar dan reka bentuknya mirip jambatan di negara Eropah.
“Jadi, jambatan kita macam di Budapest. Reka bentuknya memang berlainan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur yang mempunyai nilai estetika bukan sahaja berfungsi sebagai kemudahan perhubungan, malah berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar kawasan.

Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman mengenai pelancong dari Singapura yang datang ke Kuching khusus untuk melihat Jambatan Batang Lupar sebelum kembali ke negara berkenaan.
Menurut Abang Johari, perkembangan itu menunjukkan bahawa sesebuah mercu tanda infrastruktur berpotensi menarik kedatangan pelancong, sekali gus memberikan limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya.
Beliau turut membayangkan potensi Lawas untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan menerusi pembangunan kawasan pesisir Teluk Brunei, termasuk cadangan pembinaan pelabuhan dan hotel serta penyediaan aktiviti rekreasi seperti perahu layar dan jet ski.
Dalam perkembangan berkaitan, Jambatan Bandar Lawas dijangka menjadi antara mercu tanda baharu yang menyokong pembangunan bandar berkenaan, selain meningkatkan hubungan pengangkutan di kawasan sekitarnya.
Abang Johari dijadualkan merasmikan Jambatan Ikonik Bandar Lawas pada 8.30 malam ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di lokasi berkenaan.
Oleh Afiq Sallehi




