SIBU: Semangat prihatin rakyat Sarawak sekali lagi terserlah apabila dana sebanyak RM450,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh hanya enam hari bagi membolehkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Chloe Khoo menjalani pembedahan pemindahan hati di Taiwan pada 11 Ogos ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sekitar 80 peratus daripada jumlah sumbangan itu disalurkan oleh masyarakat Sibu jelas membuktikan sifat penyayang dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan penduduk bandar ini.
Menurutnya, kejayaan kutipan dana tersebut mencerminkan semangat perpaduan rakyat Sarawak yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Ini adalah manifestasi indah semangat rakyat Sarawak. Apabila seseorang berada dalam kesusahan, pasti ada yang tampil menghulurkan bantuan.
“Saya berharap masyarakat akan terus menyokong usaha kutipan dana seperti ini bagi membina sebuah masyarakat yang lebih penyayang,” jelasnya pada sidang media di sini, hari ini.
Sidang media itu diadakan bagi membolehkan keluarga Chloe menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang menyumbang sehingga sasaran kutipan dana berjaya dicapai.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan CCEP atas komitmennya menguruskan kes Chloe sehingga membolehkannya menjalani pembedahan di Taiwan.
Beliau berkata, walaupun berpusat di Semenanjung Malaysia, CCEP tidak membezakan antara penerima bantuan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Ia merupakan sebuah pertubuhan kebajikan bertaraf nasional dan saya amat menghargai segala bantuan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Community Care Enrichment Programme (CCEP), Yvonne Yee menyifatkan kejayaan mengumpulkan RM450,000 dalam tempoh enam hari sebagai satu keajaiban hasil sokongan orang ramai.
“Mengumpulkan RM450,000 dalam masa hanya enam hari adalah satu keajaiban. Ia bukan usaha seorang individu, sebaliknya hasil gabungan ramai insan yang prihatin,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berkongsi maklumat mengenai kempen kutipan dana Chloe, khususnya penyokong di Sarawak, sehingga membantu kempen itu mencapai sasaran dalam tempoh singkat.
Chloe disahkan menghidap Biliary Atresia (atresia saluran hempedu) beberapa hari selepas dilahirkan dan telah mengalami empat episod pendarahan dalaman sepanjang lima tahun lalu.
Ibu saudaranya merupakan satu-satunya penderma hati hidup yang sesuai, manakala Chloe dijadual menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Memorial Chang Gung, Taiwan pada 11 Ogos ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Community Care Enrichment Programme (CCEP), Yvonne Yee, Naib Pengerusi CCEP, Lim Chin Chuan, ibu saudara Chloe, Sia Ping Ping serta neneknya, Cheng Huong Eng.
Oleh Akun Giman





