Pemohon teksi MADANI boleh guna kenderaan selain Proton S70

Facebook
WhatsApp
TEKSI MADANI... Pemandu teksi dibenarkan melesenkan atau menukar kenderaan selain model Proton S70 di bawah Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional bagi membantu pemohon yang mempunyai kenderaan sedia ada atau tidak mendapat kelulusan pembiayaan sewa beli.

PUTRAJAYA: Pemandu teksi dibenarkan untuk melesenkan atau menukar kenderaan selain model Proton S70 di bawah Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional (Teksi MADANI).

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelonggaran itu diberikan bagi membantu pemohon yang mempunyai kenderaan sedia ada atau tidak berjaya mendapatkan pembiayaan sewa beli.

Ia terpakai meskipun dasar Kementerian Pengangkutan pada 23 April lepas menetapkan permohonan baharu atau penggantian teksi di bawah program itu secara sukarela dan terhad melalui pembelian pakej teksi model Proton S70 yang ditawarkan di bawah program itu.

“Pemandu teksi digalakkan untuk bertukar kepada Teksi MADANI untuk menikmati pelbagai insentif yang ditawarkan. 

“Bagaimanapun bagi membantu pemohon yang mempunyai kenderaan sedia ada atau tidak berjaya mendapatkan kelulusan pembiayaan pinjaman sewa beli di bawah program Teksi MADANI, pemohon masih dibenarkan untuk melesenkan atau menukar kenderaan selain daripada model Proton S70,” menurut kenyataan itu.

APAD memaklumkan teksi sedia ada yang tidak ditukar ganti di bawah program berkenaan masih dibenarkan beroperasi sehingga tamat had usia kenderaan yang ditetapkan.

Teksi MADANI, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Julai lepas membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan baharu, sekali gus menamatkan amalan pajakan tradisional dalam industri berkenaan.

Menerusi program transformasi itu, model sedan Proton S70 dipilih sebagai model teksi rasmi terbaharu dengan menampilkan imej lebih moden, tanpa komponen penanda di atas bumbung serta menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf “GET”.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama, khusus untuk manfaat pemandu teksi, susulan sambutan baik terhadap dana berjumlah RM10 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan Teksi MADANI. – Bernama