23 lelaki positif dadah ditahan dalam Ops Cegah Khas AADK Kuching

Facebook
WhatsApp
AADK Daerah Kuching menahan 23 individu yang didapati positif dadah menerusi Ops Cegah Khas yang dilaksanakan selama tiga hari bermula Selasa lalu di beberapa lokasi sekitar Kuching. Foto AADK Daerah Kuching

KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching menahan 23 individu yang didapati positif dadah menerusi Ops Cegah Khas Bil. 01/2026 yang dilaksanakan selama tiga hari bermula Selasa lalu di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.

Menurut kenyataan media AADK Daerah Kuching, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan dalam mempergiat aktiviti pengesanan, intervensi dan tindakan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang di kawasan berisiko.

Katanya, operasi berkenaan memberi tumpuan di Bandar Baru Semariang, Kampung Boyan, Astana, sekitar Kampung Buntal dan Kampung Tabuan Melayu yang dikenal pasti sebagai antara lokasi pemantauan.

AADK Kuching mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Ops Cegah Khas. Foto AADK Kuching

Sepanjang operasi tersebut, seramai 23 individu telah ditahan dan menjalani saringan awal air kencing, dengan kesemua mereka didapati positif dadah.

Menurut kenyataan itu, semua individu yang ditahan adalah lelaki.

Daripada jumlah berkenaan, 19 individu berusia antara 19 hingga 40 tahun, manakala empat lagi berusia antara 41 hingga 50 tahun.

Hasil saringan awal mendapati seramai 18 individu positif methamphetamine (METH), manakala lima individu lagi didapati positif ketum.

Kesemua 23 individu terbabit telah diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1)(a), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SARINGAN awal air kencing dilakukan terhadap individu yang ditahan dalam operasi AADK Kuching Foto AADK Kuching

AADK berkata, operasi seumpama itu akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi membendung penyalahgunaan dadah serta memperluaskan usaha pemulihan terhadap individu yang terlibat.

Pada masa sama, AADK menegaskan kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan usaha membanteras gejala dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi membantu mewujudkan komuniti yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada ancaman dadah.

Oleh Adi Safarman