KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di Jalan Stutong pada 5 Ogos.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata operasi itu dijalankan kira-kira 11.55 malam dan membawa kepada penahanan suspek yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Beliau berkata, ujian pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek melebihi had yang dibenarkan mengikut Seksyen 45A(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Dalam operasi sama, sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Alexson berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membendung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Oleh Connie Chieng




