Penipuan pelaburan, lelaki rugi RM28,750

Facebook
WhatsApp

SERIAN, 14 Oktober: Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada pengadu berhubung kes penipuan pelaburan yang menyebabkan seorang mangsa mengalami kerugian sebanyak RM28,750 di sini.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki dari Daerah Serian, tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dipaparkan di platform Facebook menggunakan nama sebuah syarikat sebelum meneruskan urusan melalui aplikasi Telegram.

Mangsa dipercayai telah dijanjikan pulangan pelaburan yang lumayan dalam tempoh singkat. Terpengaruh dengan tawaran tersebut, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pembayaran ke dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM28,750.

Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM58,412 atas alasan berlaku kesilapan ketika mengakses pautan yang diberikan.

Menyedari terdapat unsur mencurigakan, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semakan awal melalui sistem CCIS mendapati kedua-dua nombor telefon yang berkaitan tidak mempunyai rekod.

Bagaimanapun, semakan terhadap akaun bank berkenaan menemukan rekod terdahulu yang memerlukan penelitian lanjut. Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta meneliti aliran transaksi kewangan berkaitan.

Sehubungan itu, Freddy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan pelaburan di media sosial dan tidak membuat sebarang bayaran tambahan bagi mendapatkan pulangan yang dijanjikan tanpa pengesahan sewajarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan syarikat dan tawaran pelaburan melalui saluran rasmi sebelum menyerahkan wang kepada mana-mana pihak.

Sekiranya mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak bank dan membuat laporan polis.

Mangsa penipuan kewangan juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dengan segera bagi mendapatkan bantuan serta panduan mengenai tindakan yang perlu diambil.

Oleh Connie Chieng