BINTULU: Autonomi yang diperoleh Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan pembangunan negeri, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Menurutnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, penubuhan Sekolah Antarabangsa Sarawak serta pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Antara pendekatan paling bersejarah yang dilaksanakan kerajaan Sarawak ialah pemberian pendidikan tinggi percuma kepada semua anak Sarawak, khususnya dalam bidang STEM di empat universiti milik kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Perpustakaan Sekolah dan Sudut STEM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asyakirin, di sini, hari ini.
Annuar berkata, pelbagai inisiatif itu mencerminkan pendekatan pendidikan Sarawak yang lebih progresif hasil autonomi yang dimiliki negeri menerusi MA63.

Tambahnya, Sarawak kini merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua sekolah, selain sedang membangunkan enam Sekolah Antarabangsa Sarawak bagi memperluaskan akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Secara peribadi, saya lebih cenderung melihat dasar pendidikan dilaksanakan secara lebih berdesentralisasi berbanding sistem yang terlalu berpusat,” katanya.
Beliau yakin pendekatan berkenaan mampu memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Carolyne Utih





