142 warga pendidikan PPD Betong terima APC 2025

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam pada Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Tahun 2026 anjuran PPD Betong di Dewan Perpaduan, Debak. Foto ADUN Saribas

DEBAK, 17 Oktober: Seramai 142 warga pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkasakan sektor pendidikan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, penerima anugerah perlu menjadikan pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata, kecemerlangan penerima APC juga wajar dijadikan inspirasi dan penanda aras kepada rakan sejawat dalam usaha membudayakan prestasi kerja berkualiti tinggi dalam kalangan warga pendidikan.

Menurutnya, anugerah berkenaan bukan sekadar penghargaan dalam bentuk sijil atau hadiah, malah melambangkan pengiktirafan kerajaan terhadap kualiti kerja, integriti dan kesungguhan warga pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Tahun 2026 anjuran PPD Betong di Dewan Perpaduan, Debak, hari ini.

Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima APC atas pencapaian, komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab masing-masing.

DATUK Dr Mohammad Razi Sitam menyampaikan sijil APC kepada salah seorang penerima. Foto ADUN Saribas

Beliau berharap pengiktirafan itu dapat meningkatkan motivasi penerima untuk mengekalkan profesionalisme, memperkukuh integriti dan terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan murid, sekolah dan masyarakat.

“Warga pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan sistem pendidikan terus berkembang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut meraikan pesara pendidikan menerusi Majlis Jasamu Dikenang bagi Pesara Tahun 2026 sebagai penghargaan atas jasa dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Penghargaan itu mencerminkan kepentingan mengiktiraf sumbangan warga pendidikan dalam membangunkan institusi pendidikan serta membentuk generasi masa depan.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dato’ Omar Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Anis Madeli, wakil Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Nur Liana Lim Abdullah serta Pengerusi Persatuan Guru Besar Daerah Betong Minggu Ujak.

Oleh Adi Safarman