BINTULU: Seekor anak buaya yang ditemui terperangkap di dalam parit di kawasan RPR Kidurong Fasa 2 berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong, Rary Binjie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seekor anak buaya yang terperangkap di dalam parit seperti yang dilaporkan oleh pemanggil.

“Anggota seterusnya menggunakan peralatan khas berupa tali penjerut untuk mengawal dan mengikat bahagian mulut anak buaya tersebut.
“Reptilia itu berjaya ditangkap dengan selamat sebelum diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut,” katanya
Operasi dilaporkan terkawal pada 10.03 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada 10.10 malam tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa.

Difahamkan, wakil SFC turut berada di lokasi bagi menerima anak buaya berkenaan selepas operasi selesai.
Oleh Carolyne Utih





