Dewan Serbaguna Rumah Salleh Gaong siap Oktober ini

Facebook
WhatsApp
TINJAU... Datuk Rosey Yunus ketika mengadakan tinjauan Projek Dewan Serbaguna Rumah Salleh Gaong, Skim Sepupok yang dijangka siap pada Oktober ini.

NIAH: Projek Dewan Serbaguna Rumah Salleh Gaong, Skim Sepupok, bernilai RM300,000 dijangka siap pada Oktober ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, projek berkenaan penting bagi menyediakan kemudahan untuk kegunaan penduduk setempat, khususnya bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, lawatan meninjau projek itu turut mengenal pasti beberapa keperluan tambahan yang boleh dipertimbangkan untuk pelaksanaan fasa kedua.

“Antara keperluan yang dikenal pasti ialah pemasangan dinding pada gelanggang, pembinaan tandas awam, kerja-kerja menaik taraf bahagian hadapan rumah panjang serta penyediaan kawasan parkir kenderaan.

“Keperluan ini akan dilihat dan dipertimbangkan berdasarkan keutamaan serta kemampuan peruntukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika meninjau projek Dewan Serbaguna Rumah Salleh Gaong, di sini semalam.

Rosey berkata, penyediaan kemudahan sokongan berkenaan penting bagi memastikan dewan dan gelanggang yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh oleh penduduk.

Pihaknya akan melihat keperluan tersebut untuk dipertimbangkan dalam perancangan fasa seterusnya, tertakluk kepada peruntukan yang tersedia, tambahnya.

Turut hadir ialah Penghulu Epat Bakar, Penghulu Michael Balo, Tuai Rumah (Tr) Salleh Gaong, Tr Andrew Abak dan Tr Aron.

Oleh Adum Liu