KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan yang berjaya mengawal kebakaran di tepi Jalan Tun Razak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua No. 3 (CHMS3), hari ini.
Kebakaran tersebut dikesan kira-kira 1.45 petang sebelum pasukan Bomba dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan. Anggota BBP Padungan dilaporkan tiba di lokasi dalam tempoh kira-kira lima minit menggunakan motosikal bagi melakukan penilaian awal serta melaksanakan tindakan mengawal kebakaran.
Sebuah jentera Bomba tiba tidak lama kemudian bagi menyokong operasi pemadaman, manakala kerja-kerja pemeriksaan diteruskan bagi memastikan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat.
Wee turut hadir di lokasi bersama Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Eric Tay dan Albert Tay bagi memantau keadaan serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha mengawal kebakaran tersebut.
Sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi anggota Bomba yang bertugas dalam keadaan cuaca panas, Wee turut menyerahkan minuman sejuk kepada anggota terlibat.
Kebakaran itu berjaya dikawal dengan segera, sekali gus membantu mengelakkan api daripada merebak ke kawasan sekitar.





