Abang Johari seru lebih banyak GLC, syarikat swasta sokong inisiatif kebajikan

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu di Hospital Bintulu, hari ini.

BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mahu lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan yayasan korporat memainkan peranan sebagai rakan pembangunan sosial dalam memperluaskan inisiatif kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pembinaan Anjung Kasih Hospital Bintulu hasil kerjasama antara Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Bintulu Port membuktikan bahawa sektor korporat bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, malah mampu memberi impak langsung terhadap pembangunan sosial.

“Komitmen ini membuktikan bahawa sektor korporat bukan sahaja menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mampu menjadi rakan pembangunan sosial yang memberikan impak secara langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu di sini, hari ini.

 PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan gimik perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu sambil disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta tetamu kehormat lain di Hospital Bintulu, hari ini.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada aspek keterangkuman sosial menerusi penyediaan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Tambahnya, kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu rakyat dalam aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan tanpa mengira latar belakang, termasuk memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Kalau kita ada rezeki, apa salahnya kita membantu orang. Dalam Islam pun kita percaya, kalau kita tolong orang, Tuhan akan tolong kita,” katanya.

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta tetamu kehormat bergambar bersama semasa majlis perasmian Anjung Kasih Hospital Bintulu di Hospital Bintulu, hari ini.

Abang Johari berkata, kemudahan Anjung Kasih amat penting dalam membantu waris pesakit, khususnya mereka dari luar bandar yang perlu menemani ahli keluarga mendapatkan rawatan di hospital tetapi berdepan kekangan tempat penginapan.

Katanya, kerajaan Sarawak turut merancang membangunkan sebuah lagi Anjung Kasih di Hospital Umum Sarawak dengan mengekalkan bangunan warisan bekas pusat latihan jururawat sebagai fasad, manakala sebuah blok baharu setinggi lapan tingkat akan dibina bagi meningkatkan kapasiti penginapan untuk waris pesakit.

Selain itu, beliau berkata, Anjung Kasih Hospital Bintulu merupakan kemudahan pertama yang menggunakan Sistem Pengurusan Anjung Kasih, iaitu sistem yang membolehkan proses pendaftaran dan pengurusan penginapan dilaksanakan secara digital bagi memudahkan pengurusan rekod penghuni.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Sarawak turut merancang membangunkan sebuah sekolah antarabangsa dan bandar baharu di Samalaju bagi menyokong pertumbuhan pelaburan serta pembangunan pesat di Bintulu.

Oleh Carolyne Utih