DUN: ADUN gesa pelaksanaan projek pembangunan dipercepat, isu rakyat ditangani

Facebook
WhatsApp
ABDUL Yakub Arbi ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 14 Oktober: Pelaksanaan projek pembangunan yang mengalami kelewatan perlu diberikan perhatian segera bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur yang dirancang.

Abdul Yakub Arbi (GPS-Balingian) membangkitkan isu projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian yang dikategorikan sebagai projek sakit dan menggesa supaya usaha menyiapkannya dipercepatkan.

DATO Miro Simuh ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto Ukas

Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf jalan di kawasan Balingian, termasuk Jalan Balingian-Sungai Anak dan jalan di Ulu Bayan.

Sementara itu, Dato Miro Simuh (GPS-Serembu) membangkitkan isu kelewatan kelulusan projek pembangunan luar bandar, selain menggesa supaya kerja menaik taraf Jalan Bau-Kuching daripada jalan tunggal kepada jalan berkembar dipercepatkan.

CHIENG Jin Ek ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, hari ini. Foto Ukas

Beliau turut meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan projek berkenaan, fasa seterusnya, peruntukan khusus serta garis masa kerja naik taraf.

Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) pula menekankan keperluan tindakan konkrit bagi merealisasikan Zon Ekonomi Khas Sibu, termasuk penubuhan jawatankuasa pelaksanaan bersama dan penyediaan pelan tindakan yang jelas.

Ketiga-tiga ADUN itu membangkitkan perkara berkenaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud