Inkues Zara Qairina: Tidak wujud VVIP, VIP ada hubungan keluarga dengan lima remaja dikaitkan kes buli – Saksi

Facebook
WhatsApp

KOTA KINABALU, 14 Oktober: Tidak wujud golongan yang amat berpengaruh (VVIP, orang kenamaan (VIP) atau ahli politik yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan lima remaja perempuan dikaitkan dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, Mahkamah Koroner di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung, ketika disoal peguam Ahmad Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat remaja dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, berkata perkara itu adalah berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya.

Ahmad Fikry: Berdasarkan siasatan Tuan, adakah terdapat kewujudan VIP, VVIP atau ahli politik yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pesalah kanak-kanak A, B, C, D dan E?

Wong: Tidak wujud.

Ahmad Fikry: Berdasarkan siasatan Tuan, sila terangkan adakah Tuan menemukan sebarang bukti bahawa mana-mana VVIP, VIP atau ahli politik telah memberikan perlindungan, menggunakan pengaruh atau mengambil apa-apa tindakan bagi membantu pesalah kanak-kanak A, B, C, D dan E mengelakkan tindakan undang-undang dalam kes ini? 

Wong: Tiada.

Saksi ke-83 itu berkata pihaknya juga tidak menerima laporan yang mengatakan Zara Qairina telah dibunuh atau dicederakan oleh sesiapa, serta tiada laporan atau maklumat mengatakan remaja berkenaan dipukul dengan objek tumpul.

Wong juga berkata tiada waris Zara Qairina memaklumkan kepada beliau bahawa pelajar Tingkatan Satu itu pernah dibuli oleh pelajar senior, dan tiada saksi tampil mengatakan dia dibuli sehingga mengakibatkan kematian, selain pemeriksaan doktor tidak menyatakan bahawa kecederaan dialami mempunyai unsur jenayah.

Ditanya sama ada kecederaan dialami pelajar itu konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi berdasarkan keterangan Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hiu yang diperolehnya, saksi itu menjawab: “Betul”.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Dr Hiu bahawa bahagian kaki Zara Qairina mengalami impak pertama manakala kecederaan pada bahagian badan dan kepala berlaku akibat impak susulan.

Saksi itu turut mengakui bahawa sebagai anggota polis, beliau mempunyai kuasa untuk mengarahkan hospital melakukan proses bedah siasat walaupun waris mangsa tidak bersetuju namun keadaan tersebut hanya terpakai sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah berdasarkan siasatan.

Wong berkata beliau ada bertanya kepada waris Zara Qairina sama ada mereka ingin melakukan bedah siasat tetapi mereka menolak.

Ahmad Fikry: Pendek kata, sewaktu Tuan bertanya kepada waris Zara sama ada mereka ingin membuat bedah siasat, Tuan mendapati tiada satupun unsur-unsur jenayah yang mewajibkan bedah siasat dilakukan. Adakah saya betul?

Wong: Betul.

Ahmad Fikry: Oleh yang demikian, memandangkan pada ketika itu langsung tiada unsur-unsur jenayah, Tuan berpendapat adalah tidak wajib untuk bedah siasat dilakukan ke atas Zara. Adakah saya betul? 

Wong: Betul

Ahmad Fikry: Jadi, Tuan bukan saja-saja tidak mahu mewajibkan bedah siasat ke atas Zara sewaktu Tuan bertanya kepada waris Zara. Adakah saya betul?

Wong: Betul

Zara Qairina,13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.- Bernama