PETRA JAYA, 14 Oktober: Projek Tebatan Banjir Sungai Maong Kiri bernilai RM100.215 juta dijangka mengurangkan risiko banjir kilat yang menjejaskan kediaman dan harta benda lebih 40,000 penduduk di kawasan Batu Lintang dan Kota Sentosa.

See Chee How (PSB-Batu Lintang) berkata, projek berkenaan dianugerahkan pada 24 Ogos 2026 dan kerja pelaksanaannya sedang berjalan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Menurutnya, projek itu direka bentuk berdasarkan piawaian kebarangkalian kejadian banjir berulang 100 tahun, bersamaan kebarangkalian satu peratus untuk kejadian sedemikian berlaku atau dilampaui dalam mana-mana tahun.
“Projek itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara wakil rakyat dengan agensi pelaksana dalam memastikan pembangunan memberi manfaat langsung kepada penduduk”, ujarnya.
Katanya, usaha tebatan banjir bukan sahaja berkaitan pembangunan infrastruktur, malah penting untuk meningkatkan keselamatan dan melindungi kediaman keluarga yang berdepan kejadian banjir berulang.
Untuk rekod, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak merekodkan kejadian banjir di Jalan Ketitir, Batu Kawa dan kawasan MJC Sungai Maong Kanan pada 2 Mac 2024. Kejadian itu dikaitkan dengan hujan lebat yang berlaku serentak dengan air pasang, menyebabkan paras Sungai Maong Kiri meningkat dan melimpah ke kawasan rendah.
Oleh Shikin Mahmud





