Malaysia berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit

Facebook
WhatsApp
HIDUP SIHAT... Marie Rozita Kulai bersama yang lain pada Program Larian Bangkit, Keluar dan Bergerak (GUGOG) sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang 2026.

LIMBANG: Malaysia berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti yang semakin membimbangkan.

Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai, berkata pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga perlu terus berwaspada terhadap penyakit berjangkit seperti denggi, rabies dan tuberkulosis.

Beliau berkata, segala cabaran tersebut memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi berkaitan serta masyarakat bagi memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia, dengan faktor risiko utama termasuk diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti,” katanya.

PROGRAM Larian Bangkit, Keluar dan Bergerak (GUGOG) sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang 2026 di Dewan Suarah Limbang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Residen Bahagian Limbang pada majlis perasmian Program Larian Bangkit, Keluar dan Bergerak (GUGOG) sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang 2026 di Dewan Suarah Limbang hari ini.

Turut sama Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr. Norliza Jusoh dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Teh Rafidah Kipli.

Marie berkata Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) merupakan inisiatif strategik kerajaan yang memberi penekanan kepada pembudayaan gaya hidup sihat, pencegahan penyakit dan pemerkasaan masyarakat.

Menurutnya pendekatan ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja sihat dari segi fizikal, malah sejahtera dari aspek mental, emosi dan sosial.

Seterusnya isu kesihatan bukan sekadar tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi merupakan tanggungjawab bersama.

Jelasnya, kerajaan menyediakan dasar, kemudahan dan perkhidmatan, namun kejayaan agenda ini bergantung kepada kesedaran serta tindakan setiap individu dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Oleh Adeng Edrus