Hab STEM SMK Medamit perluas akses pendidikan STEM luar bandar

Facebook
WhatsApp
KEMAHIRAN STEM … Marconi menyaksikan projek STEM yang dihasilkan pelajar SMK Medamit Limbang.

LIMBANG: Pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit kini mempunyai akses lebih baik kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penubuhan Hab STEM baharu hasil kerjasama Sarawak Energy dan Lighthouse of Hope Sarawak (LOHS).

Hab STEM SMK Medamit merupakan hab kelima yang ditubuhkan di bawah kerjasama dua tahun antara kedua-dua pihak bagi memperluas akses pendidikan STEM kepada komuniti luar bandar di seluruh Sarawak.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pendidikan dan pembangunan belia, khususnya pelajar di kawasan luar bandar.

“Pendidikan STEM memainkan peranan penting dalam menyediakan anak muda Sarawak untuk masa depan. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberikan pendedahan lebih luas kepada pelajar terhadap teknologi serta kemahiran penyelesaian masalah secara praktikal, selain membantu guru melaksanakan pembelajaran lebih interaktif.

“Ini juga menyokong aspirasi Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan, khususnya dalam kalangan belia di komuniti luar bandar,” katanya ketika merasmikan pelancaran Hab STEM berkenaan baru-baru ini.

Marconi berkata, penubuhan hab tersebut merupakan perkembangan positif bagi Limbang kerana menyediakan peluang pembelajaran praktikal yang mampu menyokong minat pelajar dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan serta program yang disediakan melalui Hab STEM berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOHS, Dr. Lee Chee San berkata, kerjasama tersebut membuktikan perkongsian kukuh antara organisasi korporat dan komuniti mampu mewujudkan impak sosial yang bermakna serta berpanjangan.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk mendalami pendidikan STEM dan mempertimbangkan kerjaya berkaitan STEM, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja masa depan Sarawak,” katanya.

Hab STEM SMK Medamit dilengkapi pelbagai sumber pembelajaran melibatkan bidang robotik, dron, tenaga solar, pengekodan, percetakan 3D dan percetakan laser bagi menjadikan pembelajaran STEM lebih praktikal.

Selain penyediaan peralatan, kerjasama itu turut merangkumi sokongan berterusan kepada pelajar dan guru menerusi Program Duta STEM, bengkel serta jerayawara yang melibatkan sekolah dan komuniti berhampiran.

Melalui Program Duta STEM, pelajar terpilih akan dilatih untuk memimpin aktiviti pembelajaran rakan sebaya serta menyokong penggunaan hab berkenaan di sekolah masing-masing.

Guru pula akan menyertai bengkel khas bagi memperkukuh keupayaan dalam menyampaikan pendidikan STEM berasaskan projek, manakala pelajar dibimbing menggunakan peralatan tersedia untuk membangunkan projek sendiri yang memberi pendedahan kepada kemahiran teknikal dan penyelesaian masalah.

Penubuhan Hab STEM SMK Medamit menyusuli penubuhan hab sama di SMK Long Lama, SMK Lubok Antu, SMK Bakun dan SMK Baleh sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan LOHS pada 26 Mac 2025.

Majlis pelancaran Hab STEM pada 10 Julai lalu turut menyaksikan pemeteraian Nota Kerjasama Komuniti antara SMK Medamit dan LOHS.

SMK Medamit diwakili Pengetua, Linda Liau, manakala LOHS diwakili Dr. Lee Chee San.

Turut hadir Pengurus Besar Kelestarian Sarawak Energy, Mohamad Irwan Aman serta Pengurus Kanan Pelaburan dan Perancangan Sosial, Nur Hazwani Sapuan.

Menerusi kerjasama itu, Sarawak Energy terus menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam memperluas peluang pendidikan serta melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan bagi menyumbang kepada pembangunan negeri.

Oleh Adeng Edrus