Henry Sum gesa percepat pemulihan Loji Air Trusan

Facebook
WhatsApp
TURUN PADANG...Henry Sum Agong melawat rumah pam loji rawatan air wilayah Trusan diiringi Ts. Ahmad Hafidzur Rahman.

LAWAS: Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong menggesa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang mempercepatkan kerja-kerja pemulihan di Loji Rawatan Air Trusan bagi menangani gangguan bekalan air yang berlarutan di daerah itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke loji berkenaan hari ini bagi meninjau sendiri punca gangguan bekalan air yang berulang, selain mendengar taklimat daripada Jurutera Air JBALB Bahagian Limbang, Ts. Ahmad Hafidzur Rahman Nidhom.

MELIHAT SENDIRI…Henry Sum melihat sendiri keadaan di loji rawatan air wilayah Trusan dalam usaha memahami situasi di lapangan.

Menurut Henry Sum, antara tindakan segera yang perlu dilaksanakan ialah mengorek kolam takungan di kawasan rumah pam bagi membuang mendapan lumpur dan pasir yang menjejaskan operasi loji.

Selain itu, beliau berkata, masalah hakisan tebing Sungai Trusan berhampiran loji turut perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius terhadap kemudahan bekalan air.

“Ini masalah rakyat dan kita sudah lama berdepan isu bekalan air yang tidak berkesudahan. Saya mahu semua kerja pemulihan di kawasan loji dipercepatkan.

“Kita juga meminta JBALB Bahagian Limbang mengemukakan pelan tindakan bagi kerja-kerja pembersihan kawasan rumah pam yang mengalami masalah mendapan, selain cadangan pembinaan pontun terapung untuk pam air,” katanya ketika ditemui media.

Beliau turut mengarahkan JBALB Bahagian Limbang menyediakan laporan lengkap mengenai tindakan yang perlu diambil, termasuk anggaran kos bagi kerja-kerja pemulihan rumah pam di Loji Rawatan Air Trusan.

DIPENUHI MENDAPAN…rumah pam loji rawatan air Trusan yang dipenuhi timbunan tanah dari runtuhan tebing dan mendapan pasir sungai.

“Laporan itu akan dibawa kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang sentiasa menerima aduan berkaitan gangguan bekalan air di Lawas.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan berulang kali menjejaskan kehidupan rakyat, termasuk saya sendiri. Jadi saya memahami kemarahan rakyat kerana saya turut merasai kesannya,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja mengorek mendapan tanah dan pasir, pembinaan pontun terapung serta pengukuhan benteng tebing Sungai Trusan yang runtuh dijangka siap pada Oktober tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua agensi berkaitan mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan tanpa sebarang kelewatan yang tidak munasabah.

Henry Sum berkata, selain isu bekalan air, Lawas masih berdepan dua lagi isu utama yang memerlukan perhatian serius kerajaan, iaitu bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi yang melibatkan Sacofa.

Oleh Adeng Edrus