BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos yang dilaksanakan susulan kelemahan pasaran China serta peningkatan tekanan kos, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
Menurut laporan akhbar Jerman hari ini, persetujuan dicapai selepas rundingan selama beberapa minggu antara pihak pengurusan BMW dan wakil pekerja berhubung pelaksanaan program pemberhentian secara sukarela.
Di bawah program berkenaan, proses pemberhentian pekerja akan bermula pada Oktober 2026 dan berterusan sehingga akhir 2027.
Program itu dijangka mengurangkan sebanyak 8,000 pekerja.
BMW, yang mempunyai kira-kira 150,000 pekerja di seluruh dunia termasuk 84,000 di Jerman, akan menawarkan skim pemberhentian secara sukarela kepada kira-kira 40,000 pekerja yang tidak terlibat secara langsung dalam bahagian pengeluaran.
Program itu melibatkan pekerja dalam bahagian pengurusan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perancangan serta pentadbiran.
Jumlah pampasan pemberhentian yang akan diterima pekerja akan ditentukan berdasarkan faktor gaji dan tempoh perkhidmatan.
Pada Jun lalu, BMW menyemak semula unjuran jualan dan keuntungan bagi tahun 2026, khususnya berikutan penurunan permintaan di pasaran China.
Pengeluar kenderaan Jerman itu memaklumkan bahawa langkah pengurangan kos akan dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap tarif Amerika Syarikat (AS), peningkatan kos operasi serta tekanan persaingan global. – Bernama




