SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di kawasan Awik, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata operasi yang bermula kira-kira 9.30 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat awam berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata sepasukan Task Force yang diketuai oleh Inspektor Henry telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki tempatan berketurunan Iban yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi menjalani ujian saringan air kencing untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif terhadap dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
DSP Mathew berkata pihak polis akan terus mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah itu menerusi risikan, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman





