PETRA JAYA: Dua projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini memasuki fasa perancangan awal menerusi sesi pembentangan dan libat urus bagi memperincikan reka bentuk serta skop pelaksanaan projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, sesi berkenaan penting bagi memastikan kedua-dua projek memenuhi keperluan masyarakat setempat serta selaras dengan matlamat pembangunan yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi pembentangan dan libat urus bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Urusetia BDDA serta pihak juruperunding yang dilantik bagi projek Pusat Pembangunan Komuniti dan Warisan Krian serta projek naik taraf Kompleks Sukan Saratok di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, sesi pembentangan itu dikendalikan oleh pihak juruperunding yang bertanggungjawab mengemukakan cadangan reka bentuk prasarana bagi Mini Kompleks Sukan Saratok serta Pusat Pembangunan Komuniti dan Warisan Krian, Saratok.
“Pembentangan ini merupakan peringkat awal yang memberi tumpuan kepada skop kerja, reka bentuk dan komponen utama kedua-dua projek sebelum pelaksanaan dimulakan.
“Sesi libat urus ini juga memberi ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan, cadangan serta penambahbaikan berdasarkan dapatan awal dan kerja lapangan yang telah dilaksanakan oleh pihak juruperunding,” katanya.

Friday berkata, pendekatan libat urus itu mampu memastikan setiap aspek pembangunan dirancang secara menyeluruh supaya projek yang dilaksanakan kelak benar-benar memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Krian dan Saratok.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua projek berkenaan merupakan antara inisiatif pembangunan di bawah peruntukan BDDA bagi DUN Krian yang bertujuan memperkukuh kemudahan komuniti serta infrastruktur sukan.
Sementara itu, ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek berskala besar di bawah BDDA itu diyakini mampu meningkatkan kemudahan sukan di Daerah Saratok, sekali gus menyediakan persekitaran lebih selesa kepada masyarakat dan peminat sukan.
Beliau berkata, penambahbaikan kemudahan sukan tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berbakat serta jaguh sukan dari Saratok, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman





