SELANGAU: Sekolah Kemahiran Yahos terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti menerusi penganjuran Kursus Pemprosesan Produk Ayam Sejuk Beku yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal serta keusahawanan berasaskan industri pemprosesan makanan.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Selangau, kelmarin menghimpunkan penduduk setempat yang mengikuti latihan secara teori dan amali bagi menghasilkan produk ayam sejuk beku berkualiti tinggi serta berpotensi dipasarkan secara komersial.

Sepanjang kursus tersebut, peserta didedahkan kepada teknik penyediaan empat produk berasaskan ayam, iaitu nuget ayam, tempura ayam, jejari ayam dan ayam popcorn yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran makanan sejuk beku.
Selain mempelajari proses penyediaan produk, peserta turut diberi latihan menyeluruh meliputi pemilihan bahan mentah, teknik pemprosesan, kawalan kualiti, pembungkusan serta kaedah pengendalian makanan yang selamat mengikut piawaian industri.
Penganjuran kursus itu mencerminkan komitmen berterusan Sekolah Kemahiran Yahos dalam memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menyokong usaha melahirkan masyarakat yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia merebut peluang ekonomi baharu.

Melalui latihan berasaskan kemahiran tersebut, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan teknikal dalam bidang pemprosesan makanan, malah digalakkan meneroka peluang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Pengarah Sekolah Kemahiran Yahos, Natasha Nasa Uggah, berkata latihan berasaskan kemahiran merupakan antara pendekatan paling berkesan dalam memperkasa masyarakat melalui penyampaian ilmu yang praktikal, relevan dan mempunyai nilai komersial.
Beliau berkata, kemahiran yang diperoleh bukan sahaja memberi manfaat untuk kegunaan sendiri, malah boleh dijadikan asas kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpotensi berkembang pada masa hadapan.

“Kami berharap peserta memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi mencipta peluang ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan keluarga dan komuniti,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Menurut beliau, Sekolah Kemahiran Yahos akan terus memperluas penganjuran program TVET berimpak tinggi agar lebih ramai masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, memperoleh akses kepada latihan kemahiran yang dapat meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan modal insan melalui latihan kemahiran perlu diperkasakan secara berterusan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri, selain menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, Natasha merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, tenaga pengajar serta seluruh komuniti Selangau atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga program tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan usaha memperkasa masyarakat melalui pendidikan berasaskan kemahiran dapat diteruskan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti dan kemajuan Sarawak secara menyeluruh.
Oleh Adi Safarman





