Projek jalan ladang Nanga Lop siap, tingkat kecekapan pengangkutan hasil sawit

Facebook
WhatsApp
MAJLIS penyerahan siap projek diadakan hari ini dengan kehadiran wakil BDDA Jordan Ervin, wakil JKR Bahagian Betong Norasyimah, wakil Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.37 Bukit Saban, Tuai Rumah Rayong serta wakil kontraktor Mahda Enterprise. Foto Douglas Uggah Embas Official

DEBAK: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar apabila projek naik taraf jalan ladang di Nanga Lop berjaya disiapkan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sekali gus memberi manfaat langsung kepada para pekebun sawit di kawasan berkenaan.

Projek yang dilaksanakan mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong itu kini menyediakan laluan yang lebih selesa, selamat dan efisien bagi memudahkan pergerakan ke kawasan ladang.

Majlis penyerahan siap projek diadakan hari ini dengan kehadiran wakil BDDA Jordan Ervin, wakil JKR Bahagian Betong Norasyimah, wakil Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.37 Bukit Saban, Tuai Rumah Rayong serta wakil kontraktor Mahda Enterprise.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyediaan infrastruktur berkualiti di kawasan luar bandar kekal menjadi agenda utama kerajaan bagi merancakkan pembangunan sektor pertanian dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Jalan ladang yang baik memberi impak besar kepada produktiviti pekebun kerana memudahkan urusan membawa keluar hasil sawit ke pasaran dalam keadaan lebih cepat, selamat dan menjimatkan kos.

“Akses yang lebih baik turut membantu mengurangkan kos pengangkutan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pendapatan pekebun sawit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PROJEK naik taraf jalan ladang di Nanga Lop kini memudahkan pergerakan pekebun sawit serta meningkatkan akses ke kawasan pertanian. Foto Douglas Uggah Embas Official

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan menyediakan kemudahan yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat luar bandar.

“Pembangunan infrastruktur seperti jalan ladang bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat yang bergantung kepada sektor pertanian,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dipelihara dengan baik agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh penduduk.

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan mencapai matlamat serta memberi pulangan optimum kepada rakyat.

Sementara itu, Tuai Rumah Rayong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, atas kelulusan peruntukan melalui BDDA sehingga projek naik taraf jalan ladang tersebut dapat direalisasikan.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati terhadap kualiti kerja yang telah disiapkan dan yakin kemudahan itu akan memudahkan urusan harian para pekebun sawit di kawasan berkenaan.

Projek naik taraf jalan ladang Nanga Lop dijangka mempertingkat kelancaran pengangkutan hasil sawit serta memperkukuh agenda pembangunan luar bandar yang dilaksanakan kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di DUN Bukit Saban.

Oleh Adi Safarman