KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) giat memperkemaskan perancangan komunikasi, publisiti dan penyiaran sebagai persediaan menghadapi penganjuran Sukan SEA Ke-34 yang bakal berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 di Sarawak.
Persediaan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa (JK) Media Cetak, Publisiti, Siaraya dan Kewartawanan Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Sarawak, Datu Hii Chang Kee, di Bilik Mesyuarat Utama UKAS, hari ini.
Turut hadir Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, bersama ahli jawatankuasa serta wakil agensi berkaitan.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada peranan UKAS dalam merangka pelan komunikasi menyeluruh bagi Kluster Sarawak sepanjang temasya dwitahunan tersebut.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah penyediaan Terma Rujukan (TOR) bagi jawatankuasa, pembangunan Pelan Induk Komunikasi, strategi media, publisiti dan penyiaran secara bersepadu, selain memperkukuh kerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027.
Mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa konsortium penyiaran dijangka dimuktamadkan pada 5 hingga 7 Ogos ini menerusi bengkel khas, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan pelan penyiaran yang lebih tersusun.
Dari aspek penyiaran, TVS dijangka mengendalikan siaran langsung dan rakaman sepanjang temasya sebelum kandungan berkenaan disalurkan ke Pusat Penyiaran Antarabangsa (International Broadcast Centre atau IBC) di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, UKAS akan bertanggungjawab mewujudkan sebuah Pusat Media di Sarawak yang bertempat di IBC, dengan pembinaannya disasarkan siap sebelum April tahun hadapan.
Selain itu, pelan promosi awal akan digerakkan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program kira detik setahun menjelang Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung pada 18 September 2026.
Bagi memperhebat promosi temasya, satu jerayawara promosi Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan mulai Januari 2027 melibatkan seluruh Sarawak, bermula di Limbang sebelum berakhir di Kuching sebagai usaha menyemarakkan semangat rakyat serta meningkatkan kesedaran mengenai penganjuran temasya tersebut.
Selain itu, Larian Obor akan diadakan di kesemua 12 bahagian di Sarawak, disusuli pelbagai aktiviti promosi lain seperti kuiz, jelajah, kempen media tradisional dan digital, penerbitan kisah inspirasi bekas atlet, penyiaran kandungan khas serta penerbitan sebuah buku meja kopi bagi memperkukuh penjenamaan temasya.
Bagi memastikan kelancaran operasi media, jawatankuasa turut membincangkan keperluan menilai kemudahan di semua 18 lokasi pertandingan, termasuk lokasi Pusat Media, penyediaan latar belakang sidang media yang seragam dengan kerjasama MYSED, serta kemudahan penyiaran di setiap venue.
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia, Norismadi Abd Manap, yang turut menyertai mesyuarat secara dalam talian, menekankan kepentingan memulakan usaha penjenamaan dan publisiti lebih awal bagi meningkatkan keterlihatan Sukan SEA 2027, di samping memastikan penyediaan perkhidmatan media dan penyiaran bertaraf profesional selaras dengan standard penganjuran antarabangsa.
Untuk rekod, Sarawak akan menjadi salah satu lokasi bagi temasya dwitahunan itu yang akan mempertandingkan 18 daripada 43 acara sukan, termasuk majlis pembukaan.
Tiga lagi lokasi iaitu Kuala Lumpur (18 sukan), Pulau Pinang (enam sukan) dan Johor (satu sukan).





