BEKENU: Penantian hampir sedekad penduduk Kampung Pejuang Kelulit untuk memiliki sebuah masjid baharu bakal berakhir apabila projek pembinaannya kini memasuki peringkat sebut harga selepas tender dibuka kepada kontraktor yang berminat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, pembinaan masjid baharu itu amat diperlukan bagi menggantikan bangunan sedia ada yang sudah uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah jemaah.
“Masjid ini memang kecil dan usang, namun kita amat menghargai usaha jawatankuasa masjid yang terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan sementara menunggu pembinaan masjid baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, projek berkenaan sebelum ini mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa isu teknikal, termasuk melibatkan tanah wakaf.
Menurutnya, pelan pembinaan baharu menyebabkan sebahagian struktur masjid terkeluar daripada kawasan asal, sekali gus memerlukan permohonan penambahan keluasan tanah bagi tujuan pembinaan.
“Bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan dan kini proses seterusnya ialah pelaksanaan projek sebaik sahaja urusan sebutharga selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pejuang, KK Saimon Osman berkata, pembinaan masjid baharu itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa dan kondusif.
Katanya, selain penduduk Kampung Pejuang Kelulit, masjid berkenaan turut digunakan oleh penduduk dari Kampung Padang, Pulau Untong, Belunu, Sulap Lada dan Labau.
Utusan Sarawak difahamkan seramai tujuh kontraktor tempatan telah menghadiri sesi lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai sebahagian daripada proses sebutharga bagi projek pembinaan masjid tersebut.
Oleh Adum Liu




